BINTULU: Polis komited untuk terus menjalin kerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi memastikan suasana pembelajaran yang selamat serta teratur sepanjang sesi persekolahan tahun ini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, kolaborasi tersebut amat penting bagi memastikan para pelajar dapat menuntut ilmu tanpa sebarang ancaman jenayah.
Menurut beliau, usaha berkenaan juga bertujuan memberi ketenangan kepada pelajar dan ibu bapa sepanjang tempoh persekolahan berlangsung.
“Keselamatan pelajar adalah keutamaan kami. Dengan kerjasama erat ini, kami dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat,” katanya ketika menyampaikan amanat ringkas kepada pelajar SMK Bintulu, pada Isnin.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pihak polis akan memantau kawasan sekolah secara berterusan bagi memastikan tahap keselamatan pelajar sentiasa terjaga.
Tambah Nixon, pihaknya turut merancang untuk mengadakan program kesedaran keselamatan bagi meningkatkan pengetahuan serta kefahaman pelajar dan komuniti setempat mengenai aspek keselamatan.



