Polis buru lanun tayar di tempat parkir HUS

KUCHING: Polis sedang memburu ‘lanun tayar’ yang kelihatan semakin aktif melakukan kegiatan di tempat letak kereta Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Ismail Mahmood berkata tidak akan berkompromi dengan kegiatan pencuri terbabit yang menjadikan tempat letak kereta berkenaan sebagai lubuk rezeki mereka.

“Kami sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti saspek,” katanya yang dihubungi hari ini berhubung kejadian curi tayar kenderaan yang semakin kerap berlaku di tempat parkir HUS.

Menurut Ismail, pihaknya juga menerima laporan terbaharu kes kehilangan tayar membabitkan sebuah kereta yang diparkir di tempat letak kenderaan berkenaan pada 26 Mac lalu.

Justeru, katanya polis akan membantu menjalankan rondaan berkala di kawasan berkenaan.

Kes terbaharu membabitkan sebuah kereta yang hilang tayar akibat dicuri ketika diparkir di tempat letak kereta awam berhampiran HUS.

Beliau turut menggesa pihak yang berkenaan supaya menambah lampu kawasan itu untuk memastikan ia lebih terang pada waktu malam sekali gus mengekang kegiatan pencuri tayar di situ.

Tempat letak kereta yang dimaksudkan adalah di tepi Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, berhadapan simpang masuk ke HUS.

Kawasan berkenaan dibuka untuk menyediakan tempat letak kereta percuma kepada orang ramai ekoran pelaksanaan projek menaiktarafkan HUS.

Bagaimanapun, ia mengundang kepada kegiatan kecurian tayar di mana kini sudah beberapa kes direkodkan.

Keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai tetapi juga kakitangan HUS yang menggunakan kawasan berkenaan untuk meletakkan kereta setiap hari.