Polis IPD Kuching turun bantu banjir

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menyiapkan anggotanya, bot dan kenderaan untuk membantu operasi menyelamat mangsa banjir pada bila-bila masa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, persiapan itu dilakukan dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir di bawah pentadbiran IPD tersebut.

Katanya antara kawasan dimaksudkan termasuk Kampung Sungai Batu, Sungai Lumut, Buntal, Bedaun, Pasir Pandak, Bako, Samariang Batu, Gita Laut, Muhibbah, Pinggan Jaya, Beradek, Tiang Api, dan Bradek Cina.

Menurutnya, ia selaras dengan mesyuarat penyelarasan Ops Banjir terdahulu yang diadakan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, RELA, Pejabat Daerah dan agensi lain berkaitan.

“Kita telah mengarahkan petugas melakukan pantauan serta pengawasan di kawasan tersebut berikutan ia merupakan kawasan kerap berlaku banjir dan dinaiki air berdasarkan rekod sebelum ini.

PANTAU… Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa (empat dari kanan) bersama penduduk ketika membuat lawatan di Kampung Sungai Batu

“Sekiranya pemindahan mangsa banjir perlu dilakukan, polis akan membantu operasi mengikut garis panduan ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JBPNS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Orang awam boleh membantu menyalurkan terus maklumat banjir kepada Bilik Gerakan Kuching bila-bila masa di talian 082244444 atau 082243757,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya masyarakat turut diingatkan untuk mengambil langkah waspada dengan amaran hujan lebat secara berterusan, angin kencang, laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi persediaan.

Pada masa sama beliau turut menggesa orang ramai untuk mengamalkan kehidupan norma baharu serta mematuhi prosuder operasi standard (SOP) semasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika terpaksa dipindahkan.

Suara Sarawak