KOTA SAMARAHAN: IPD Kota Samarahan kini giat mencari waris bagi dua kes kematian mengejut yang berlaku di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang merupakan pemilik sebuah salon di Bandar Riyal.

“Mangsa dijumpai oleh orang awam terbaring tidak sedarkan diri di lantai salon tersebut.
“Pihak ambulans dari Institusi Jantung Negara (IJN) Kota Samarahan mengesahkan kematian mangsa, dan mayatnya dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut kata Damataries, kes kedua pula melibatkan seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia di Desa Bina Diri, Kota Samarahan-sebuah asrama bagi golongan gelandangan.
Kematian mangsa disahkan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Umum Sarawak, dan mayatnya juga dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Pihak polis kini sedang berusaha mencari keluarga mangsa.
“Orang ramai yang mengenali waris mangsa diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, SM Malini, Ketua Polis Balai Kota Samarahan, di talian 0146493898,” katanya.

