KUCHING: Polis mengenal pasti beberapa kedai serbaneka di Sarawak yang dipercayai terbabit dalam penjualan tambah nilai yang digunakan bagi kegiatan perjudian dalam talian.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah menulis surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tindakan lanjut diambil terhadap premis terbabit.
Menurutnya, kerjasama PBT penting kerana lesen perniagaan dikeluarkan kepada premis berkenaan, manakala usaha membanteras perjudian dalam talian memerlukan penglibatan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Dalam kita membanteras perjudian dalam talian, ia memerlukan kerjasama daripada pihak PBT yang mengeluarkan lesen perniagaan dan mereka berlindung di sebalik itu,” katanya.
“Agensi lain termasuk MCMC juga perlu memainkan peranan bersama dalam membanteras kegiatan judi dalam penguatkuasaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi September 2026 di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, kegiatan perjudian dalam talian menyukarkan penguatkuasaan secara berterusan kerana polis tidak mungkin melakukan pemantauan selama 24 jam.
Katanya, cabaran berkenaan menunjukkan keperluan untuk memperkasakan undang-undang berkaitan perjudian bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lebih berkesan.
“Undang-undang rumah judi terbuka yang digunakan ketika ini digubal pada tahun 1953, ketika itu, kegiatan perjudian dalam talian dan teknologi digital belum wujud,” ujarnya.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita meminda Akta Rumah Judi Terbuka tersebut bagi membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan perjudian dalam talian turut melibatkan sistem dan teknologi, justeru usaha menyekatnya memerlukan kerjasama agensi lain dan bukan hanya bergantung kepada PDRM.
Katanya, lebih 1,600 individu dituduh di mahkamah tahun lalu, manakala kira-kira 900 individu telah ditangkap dan dituduh di mahkamah setakat tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat termasuk keluarga supaya tidak menyertai kegiatan perjudian dalam talian kerana permintaan terhadap aktiviti berkenaan akan mendorong kewujudannya.




