Polis Kuching pantau dua buah cawangan BSN

KUCHING: Seramai lapan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching ditugaskan membuat pemantauan terhadap dua buah cawangan Bank Simpanan Nasional(BSN), semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, penempatan tersebut bagi mengawal kehadiran orang ramai yang akan menguruskan Bantuan Prihatian Nasional (BPN).

Menurutnya, operasi kawalan dilakukan seawal jam 8 pagi sehingga jam 3 petang di kedua-dua lokasi termasuk cawangan BSN Padungan dan cawangan di Tabuan Jaya.

“Terdahulu, pihak kita telah berbincang bersama cawangan BSN di Satok mengenai persediaan pihak bank semasa kehadiran orang awam yang akan hadir ke BSN untuk urusan BPN.

“Kita telah menyarankan agar pihak BSN dapat mengambil langkah-langkah keselamatan berkait dengan wabak Covid-19,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, hasil pemantauan di kedua-dua lokasi BSN yang beroperasi mendapati orang ramai dilihat neratur dan menjaga jarak masing-masing mengikut ketetapan pihak bank.

Tambahnya, pembersihan melalui sanitiser dan saringan alat pengukur suhu turut disediakan sebelum membenarkan orang awam masuk ke dalam bank.

Dedahnya, dianggarkan seramai 411 orang ramai yang hadir ke lokasi bagi pengurusan BPN.

Ujarnya, setakat ini, pemantauan di kedua-dua cawangan BSN tersebut mendapati keadaan masih terkawal dan tiada insiden tidak diingini berlaku.