MUKAH: Polis Daerah Mukah memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, remaja berkenaan dikenali sebagai Angel Daina dan laporan kehilangan direkodkan pada 31 Mac 2026.
Menurutnya, mangsa dipercayai hilang dari kediamannya di No. 9, Lot 1166, Jalan Tiong Hua, di sini.
“Pada hari kejadian, ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya kira-kira pukul 5 pagi selepas mendapati remaja itu tiada di dalam biliknya.
“Usaha pencarian dijalankan di sekitar kawasan rumah, namun mangsa tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, telefon bimbit milik mangsa juga tidak dapat dihubungi, sekali gus menyukarkan usaha mengesan keberadaannya.
Katanya lagi, ketika kali terakhir dilihat, mangsa dilaporkan memakai kemeja-T lengan pendek berwarna merah jambu dan seluar panjang berwarna hitam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan atau penemuan ini, diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nyantung Libau di talian 012-8800945 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

