ARTIKEL

TAHAN…Polis menahan dua lelaki tempatan kerana memiliki dadah, semalam.

Polis Mukah tahan dua lelaki, rampas syabu di Balingian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah di Jalan Bukut, Balingian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 12.45 tengah hari oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.

Menurut beliau, pihak polis menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan sebuah bengkel kenderaan berat di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan satu keratan tiub straw lut sinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Bahan terlarang itu ditemukan di dalam sebuah kotak rokok dengan anggaran berat kasar 0.38 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pemandu kenderaan berusia 24 tahun bersama seorang penumpang lelaki berumur 30 tahun yang bekerja sebagai buruh dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 30 tahun positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi suspek didapati negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama tiga hari sehingga 4 April 2026 bagi melengkapkan siasatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhamad Rizal menegaskan bahawa pihak polis terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU