MUKAH: Lapan individu ditahan kerana disyaki terlibat kesalahan dadah dan menjalankan perniagaan barang lusuh tanpa lesen dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar daerah Mukah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias, berkata operasi yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah itu turut mengeluarkan 21 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Op Bersepadu Pencegahan Jenayah berkenaan dilaksanakan dari jam 8.30 malam hingga 3 pagi, melibatkan 32 pegawai dan anggota daripada pelbagai cawangan.
“Operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Inspektor Muhammad Nor Hafizuddin Husin, dengan tumpuan meliputi sekitar bandar Mukah, pekan Selangau, Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu serta Jalan Mukah-Selangau.
“Sepanjang operasi, polis memeriksa 140 individu termasuk tiga warga asing, selain 125 kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pemeriksaan mengejut di sebuah pusat hiburan di pekan Selangau, polis menahan enam warga tempatan berusia antara 30 hingga 41 tahun, termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah.
Rizal berkata, pemeriksaan lanjut menemukan satu keratan tiub straw plastik serta satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 1.65 gram.
“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” jelasnya.
Dalam operasi sama, dua lelaki warga tempatan berusia 20 dan 21 tahun turut ditahan di simpang tiga Jalan SK Sungai Bayan, Mukah kerana disyaki menjalankan perniagaan barang lusuh tanpa lesen sah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 (Akta 189), dengan polis turut merampas sebuah van, sembilan guni putih mengandungi tin aluminium, alat penimbang dan pelbagai jenis besi buruk.
Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Rizal menegaskan, operasi pencegahan jenayah akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.



