Polis pantau ketat SOP sekolah

PADAWAN: Sebanyak 14 buah sekolah menengah di bawah pentadbiran Daerah Padawan yang telah memulakan sesi persekolahan kini dalam pemantauan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong menegaskan tindakan tersebut bertujuan membantu pengurusan sekolah dalam mengambil langkah-langkah pencegahan dan pengawalan penularan virus Covid-19.

IMBAS…Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong turut melakukan imbasan ketika memasuki sekolah.

Menurutnya ia adalah sejajar dengan arahan pucuk pimpinan PDRM dalam menitikberatkan pematuhan prosuder operasi standard (SOP) Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan sekolah turut tidak terkecuali.
“Pemantauan kali ini meliputi pergerakan pelajar selepas sesi persekolahan untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Guru, pelajar, warga sekolah dan semua individu yang memasuki kawasan sekolah wajib mengambil dan merekod suhu badan.
“Kita juga akan memberikan kefahaman kepada ibu bapa yang menjemput anak-anak mereka selepas sesi persekolahan mengenai peranan mereka dalam usaha mencegah penyakit penularan wabak jangkitan,” katanya ketika mengadakan lawatan di SMK Siburan hari ini.
Tambahnya, pengawal keselamatan juga perlu mengambil peranan penting dalam menitikberatkan pematuhan SOP selain menjaga keselamatan di sekolah.
Terdahulu lawatan tersebut mendapat sambutan yang baik daripada pihak sekolah di samping perbincangan bersama pengetua SMK Siburan, Cikgu Patrick bersama guru-guru kanan.
Turut hadir Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti ASP Abd Wadi Abd Rani dan Pegawai Perhubungan SMK Siburan Ins Mohd Hisyam Mohd Shah.

Suara Sarawak