LUNDU: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah apabila didapati memiliki 248 biji pil dipercayai ekstasi dalam satu serbuan di Kampung Rukam, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram, berkata serbuan berkenaan dilakukan sekitar jam 2 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) bersama Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu hasil maklumat risikan yang dijalankan secara berterusan.
Katanya, hasil serbuan membawa kepada penangkapan suspek di hadapan rumahnya serta penemuan 248 biji pil berwarna biru disyaki dadah jenis ekstasi.
“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 100.93 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM12,400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki itu positif dadah walaupun tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Oktober bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 kali sebatan,” jelasnya.
Tambah beliau, sejak Januari hingga 20 Oktober tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lundu telah merekodkan sebanyak 115 tangkapan berkaitan kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
“Keberhasilan operasi kali ini membuktikan komitmen polis dalam memerangi aktiviti pengedaran dadah serta memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis melalui talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-2087222 kerana dadah kekal menjadi musuh nombor satu negara.




