ARTIKEL

RAMPAS… Ganja yang dirampas semalam bernilai lebih RM23,000.

Polis rampas dadah bernilai lebih RM23,000, suspek berusia 24 tahun ditahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cubaan seorang lelaki tempatan mengedar dadah jenis ganja bernilai lebih RM23,000 berjaya digagalkan apabila ditahan dalam satu serbuan oleh polis di kawasan Naim Commercial Centre, Jalan Green awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Nanga Chabu berkata, suspek berusia 24 tahun ditangkap oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira 1.10 pagi dalam operasi khas membanteras pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan di lokasi, polis merampas sebanyak 7,450 gram dadah disyaki ganja yang dianggarkan bernilai RM23,095.” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Alexson, turut dirampas sebuah kereta jenis Kia Picanto milik suspek bagi siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek negatif daripada sebarang pengambilan dadah dan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Suspek kini direman selama lima hari hingga 7 Julai 2025 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

“Kes kini masih dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran yang mungkin terlibat,” katanya.

Menurut beliau, rampasan ini menunjukkan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah yang semakin licik dan menyasarkan kawasan tumpuan awam.

ACP Alexson turut menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang berlaku di kawasan mereka.

“Kerjasama orang ramai sangat penting. Sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan, sila laporkan segera kepada balai polis berhampiran supaya tindakan segera dapat diambil,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU