ARTIKEL

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah.

Polis rampas vape disyaki mengandungi dadah dan racun bernilai RM1.6 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 8,652.5 mililiter (ml) cecair vape yang disyaki mengandungi dadah dan racun bernilai kira-kira RM1.6 juta di Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 5 Julai tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata jumlah itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding rampasan 2,968.8 ml bernilai RM534,000 sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Julai tahun ini, sebanyak 10 kes direkodkan dengan 12 tangkapan membabitkan pemilikan cecair vape yang disyaki mengandungi dadah dan bahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

“Bagaimanapun, menerusi tangkapan ini, tiada pelajar dan tiada individu bawah umur ditahan setakat ini.

“Semua yang ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti mengedar, bukannya pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak Bilangan 1 yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, di sini, hari ini.

Mustafa Kamal berkata hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati cecair vape yang dirampas itu mengandungi bahan MDMB-4en-PINACA yang disenaraikan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta bahan perantaraan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Jelasnya, sekiranya kuantiti dadah sintetik yang dirampas memenuhi had ditetapkan, polis boleh menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mengulas modus operandi, Mustafa Kamal berkata penjualan cecair vape berkenaan dilakukan secara sulit melalui rangkaian kenalan dan menggunakan kod tertentu.
“Setakat ini kita tidak menemui cecair vape yang mengandungi dadah dijual di premis vape. Ia dijual melalui rangkaian kenalan, secara rahsia dan menggunakan kod tertentu dalam kalangan individu yang saling mengenali,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata semua sampel cecair vape yang disyaki mengandungi dadah perlu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk pengesahan dan proses analisis boleh mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan sebelum pertuduhan dapat difailkan.

Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kelewatan memperoleh laporan kimia sedikit sebanyak menjejaskan kecekapan dalam membanteras masalah berkenaan.

“Tanpa laporan Jabatan Kimia, pihak polis tidak dapat meneruskan pertuduhan di mahkamah. Sedikit sebanyak tempoh menunggu itu memberi kesan kepada kecekapan proses pendakwaan,” katanya.

BERITA LAIN

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

BERITA TERBARU