SARATOK: Seorang warganegara Indonesia yang disyaki mencuri tiga motosikal di tempat parkir awam Kilang Sawit Salcra dekat Nanga Melupa di sini dicekup polis pada Khamis.
Susulan penangkapan itu, polis Saratok berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian motosikal yang berlaku pada 14 dan 25 September lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, suspek merupakan lelaki warganegara asing berusia 24 tahun.
“Suspek telah mencuri motosikal jenis Honda Wave Alpha masing-masing berwarna kuning, merah dan biru pada 14 dan 25 September lalu.
“Hasil maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok berjaya menangkap suspek di kuarters pekerja kilang berkenaan.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri tiga motosikal di tempat sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek masih ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Terdahulu, seorang pekerja kilang berusia 39 tahun membuat aduan kehilangan motosikal selepas mengalami kerugian kira-kira RM5,000.




