KUCHING: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak akan mengadakan pembukaan kaunter semak dan pengurangan 50 peratus saman PDRM sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Superintendan Saifullizan Ishak berkata, kaunter terbabit akan dibuka selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Ogos 2025 membabitkan 28 buah kaunter trafik di seluruh Sarawak.
“Kadar diskaun 50 peratus diberikan ke atas saman kesalahan trafik di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaun Kesalahan) 2003 yang boleh dikompaun.
“Namun begitu 10 kesalahan trafik yang tidak ditawarkan diskaun 50 peratus ialah kemalangan jalan raya, kesalahan jalan raya melibatkan perbicaraan, kesalahan kenderaan berat, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, kesalahan tidak boleh kompaun, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, pengubahsuaian ekzos, dan saman berstatus OP Selamat,”katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengesahkan, kesemua kaunter semak dan bayar Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) menerima bayaran tunai, manakala dua sahaja BSPTD iaitu di Kuching dan Meradong menerima pembayaran secara tunai, kad kredit dan debit.
Beliau menyeru orang ramai mengambil peluang terbabit untuk membuat semakan ke atas kenderaan masing-masing dan menyelesaikan saman PDRM yang tertunggak.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan rakyat serta menarik orang awam dan masyarakat setempat untuk menyelesaikan saman PDRM yang tertunggak.



