BINTULU: Polis Sarawak akan mengoptimumkan penggunaan kira-kira 11,500 anggota sedia ada bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan mengutamakan penugasan anggota tempatan bagi mengurangkan keperluan mendapatkan bantuan daripada negeri lain.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata penempatan anggota akan diselaraskan mengikut keperluan setiap kawasan bagi memastikan aspek keselamatan sepanjang tempoh pilihan raya dapat dikendalikan dengan berkesan.
Beliau berkata keputusan berhubung keperluan membawa masuk anggota polis daripada negeri lain, termasuk jumlah anggota yang diperlukan, masih belum dimuktamadkan dan akan bergantung kepada perancangan operasi serta keperluan tenaga kerja sebenar.
“Penugasan anggota akan diselaraskan berdasarkan keperluan di lapangan. Kita akan mengoptimumkan penggunaan anggota sedia ada di Sarawak dan cuba mengurangkan keperluan mendapatkan bantuan daripada negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penyelarasan Persiapan PRN Sarawak Ke-13 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di sini, pada Rabu.
Kira-kira 115 pegawai polis serta wakil jabatan berkaitan dari seluruh Sarawak menghadiri bengkel tiga hari yang bermula Rabu hingga Jumaat itu, anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Peserta terdiri daripada pegawai yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan operasi pilihan raya, termasuk ketua bahagian siasatan jenayah serta pegawai pentadbiran di peringkat daerah.
Bengkel itu bertujuan menyelaraskan penempatan anggota, pembahagian tugas dan persiapan operasi bagi memastikan setiap unit memahami tanggungjawab masing-masing, selain memperkukuh koordinasi serta keupayaan tindak balas terhadap sebarang insiden sepanjang tempoh pilihan raya.
Platform itu turut memberi peluang kepada pegawai daripada pelbagai daerah dan unit berkaitan untuk bertukar pandangan mengenai kemungkinan cabaran keselamatan, sekali gus memperkemas perancangan operasi serta pengagihan sumber manusia.
Saifullizan berkata polis turut membuat persiapan bagi penugasan anggota pada hari pengundian awal mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan selamat dan lancar.
Beliau berkata operasi keselamatan sepanjang PRN itu turut membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin dengan penempatan anggota ditentukan berdasarkan keperluan setiap daerah serta unit terlibat.
Beliau berkata, persiapan itu sebahagian daripada usaha berterusan Polis Sarawak untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang PRN Sarawak ke-13 terus terpelihara, sekali gus membolehkan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman dan terkawal.





