Polis Sarawak guna dron pantau PKP

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak kini menggunakan dron untuk memantau serta mengesan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Risikan Operasi, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sarawak Kamis Sulong berkata, setiap laporan pemantauan dan penggambaran udara akan disalurkan kepada Ibu Pejabat PGU Bukit Aman, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) serta Pesuruhjaya Polis Sarawak.

“Bagi kes-kes pemantauan yang menarik perhatian melibatkan mengesan penduduk setempat yang gagal mematuhi PKP di Kuching, maklumat akan disalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk bantuan pihak peronda balai terdekat mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP, Unit Dron PGU Sarawak telah membuat beberapa pemantauan di sekitar Petra Jaya seperti Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kompleks MASJA selain kawasan titik panas seperti Icom Square dan Tebingan Kuching.

Katanya, pemantauan dan penggambaran juga dibuat di sekitar kawasan Satok, IPK Sarawak, Hospital Umum Sarawak, Emart, Metrocity, Taman Matang Avenue, Taman Matang Jaya, Taman YenYen serta Taman Syn-Syn.

Selain itu di sepanjang Jalan Song, Taman Sahabat, Batu 3, Taman BDC serta Bandar Baru Batu Kawah (MJC). “Dengan penggunaan dron oleh Unit Dron PGU Sarawak, pemantauan yang dijalankan lebih efisien dan berkesan.

“Didapati keadaan di sekitar Kuching menunjukkan tan-da positif iaitu rata-rata masyarakat memberikan kerjasama dan akur akan PKP yang dilaksanakan,” katanya.

Suara Sarawak