ARTIKEL

Mohamad Zainal bersama-sama pegawai-pegawai kanan dan para media merakam gambar kenangan. | Foto Levrone Aigle

Polis Sarawak mahu kejayaan pasukan diuar-uarkan setiap hari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah mahu kejayaan dan aktiviti kepolisan di negeri ini terus diuar-uarkan media kepada masyarakat, malah jika perlu dilaporkan setiap hari.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat mengetahui usaha serta pencapaian PDRM Sarawak dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kejayaan yang dilakukan pegawai kita sepatutnya diketahui masyarakat supaya mereka tahu apa-apa yang kita lakukan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pesuruhjaya Polis Sarawak Bersama Pengamal Media Sarawak di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Pada masa sama Mohamad Zainal memberitahu, kerjasama erat antara PDRM dengan pengamal media amat penting bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan tepat dan berkesan.

Beliau turut memberi kepercayaan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) untuk menyampaikan maklumat serta menjelaskan perkembangan kes kepada media.

Tambahnya, Ketua Jabatan PDRM Sarawak juga berpotensi diberi ruang untuk tampil dalam media bagi berkongsi maklumat berkaitan bidang tugas dan pencapaian jabatan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama yang diberikan sepanjang hampir setahun beliau menerajui Kontinjen Sarawak.

Majlis berkenaan diadakan bagi mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama antara PDRM Sarawak dengan pengamal media, khususnya dalam penyampaian maklumat berkaitan keselamatan serta ketenteraman awam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU