SARIKEI: Polis Sarikei berjaya menyelesaikan kes pecah rumah dan curi kenderaan berikutan penahanan dua lelaki tempatan dalam satu operasi khas, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, kedua-dua suspek berusia 37 dan 46 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar bandar Sarikei dan Bintangor hasil risikan dan maklumat awam.
“Penahanan suspek membawa kepada penemuan dua buah kenderaan termasuk motosikal serta beberapa barangan yang dipercayai dicuri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Sehubungan itu beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat, serta menyeru masyarakat untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha membanteras jenayah di daerah ini.

