KUCHING: Polis akan menyiasat rangkaian kedai serbaneka yang dikaitkan dengan kegiatan judi dalam talian, susulan dakwaan yang tular selepas beberapa daripada premis tersebut dibaling dengan bahan letupan.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, menegaskan tindakan juga akan diambil termasuk memohon pihak berkuasa tempatan membatalkan lesen perniagaan mereka.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata polis Sarawak sedang giat menjalankan siasatan untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kes khianat dengan api dan membaling bahan letupan yang berlaku semalam, melibatkan kedai serbaneka berkenaan di Kuching dan Sri Aman.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menganalisis bahan yang digunakan, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengesan sebarang kaitan antara kedua-dua kejadian.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda,” katanya.
Mohamad Zainal turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Kontinjen Sarawak di talian 082-240 800 bagi membantu siasatan.

