SIBU: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu berjaya menggagalkan satu kegiatan penyeludupan dadah di sini apabila mereka menahan seorang lelaki bersama dadah bernilai RM86,051 pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata suspek berusia 41 tahun itu ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di tepi Jalan Pedada sekitar jam 1.35 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu suspek, polis menemui sejumlah dadah bernilai lebih RM86,000, termasuk methamphetamine dan Erimin 5.
“Dalam serbuan tersebut, polis menemui 34 paket plastik pelbagai saiz yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, dengan berat kasar 139.07 gram.
“Selain itu, sebanyak 15 papan pil berbalut kerajang timah merah perak, yang mengandungi 150 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5, dengan berat kasar 41.78 gram, turut ditemui,” katanya pada sidang media di IPD Sibu di sini semalam.
Berdasarkan maklumat lanjut, jelasnya lagi, pihak polis melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dipercayai milik suspek di Jalan Tuah di sini.
Semasa serbuan itu, kata Zulkipli, polis berjaya merampas lebih banyak dadah, termasuk 439 paket plastik yang mengandungi ketulan kristal disyaki Methamphetamine seberat 1,149 gram.
“Selain itu, 13 paket lutsinar berisi hablur kristal disyaki Ketamine (berat kasar 73.71 gram) dan 60 papan pil Erimin 5 (berat kasar 167.34 gram) turut ditemui.
“Secara keseluruhan, rampasan dadah ini dianggarkan bernilai RM86,051 dengan jumlah berat kasar 1.5 kilogram,” tegasnya.
Menurut Zulkipli, sebuah kenderaan jenis Honda Accord bernilai sekitar RM15,000 dan wang tunai sebanyak RM6,600 yang dipercayai hasil daripada aktiviti penyeludupan dadah turut disita.
Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, ketamine dan Benzo.
Suspek kemudian ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, tegas Zulkipli.
Zulkipli turut memberitahu bahawa suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, bersama pengawasan selama dua tahun.
Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 11 hingga 17 Oktober 2024 bagi membantu siasatan lanjut.
Zulkipli menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah dadah di seluruh Sibu.
“Operasi ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan kawasan Sibu bebas dari ancaman dadah.
“Kami akan terus berusaha keras untuk memastikan tiada ruang bagi aktiviti haram ini untuk berkembang,” katanya.
Dengan rampasan besar ini, pihak polis berharap dapat mengurangkan penyebaran dadah dalam kalangan masyarakat, khususnya di bahagian Sibu.

