SELANGAU: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di tepi jalan berhampiran jejambat Jalan Selangau-Mukah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh berusia 30 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Hasil pemeriksaan tubuh badan suspek pertama menemukan satu keratan tiub straw lut sinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah 0.40 gram sebelum kedua-dua suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana menggunakan dadah berbahaya.
“Kedua-dua suspek direman selama dua hari sehingga 31 Julai ini bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa IPD Mukah akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.


