ARTIKEL

Dua suspek yang berusia 51 dan 58 tahun yang ditahan.

Polis Tahan Dua Lelaki Kes Curi Kereta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua lelaki tempatan dipercayai aktif dalam jenayah curi kenderaan berjaya ditahan polis selepas sebuah Mitsubishi Pajero dilarikan di kawasan Jalan Datuk Wee Khieng Chiang, di sini, Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kuching berjaya membuat tangkapan tersebut.

Antara barang kes ketika suspek melakukan jenayah.

“Kedua-duanya merupakan lelaki tempatan berusia antara 51 dan 58 tahun dalam dua serbuan berasingan pada 30 Disember 2025.

“Tangkapan pertama dibuat di sekitar Taman Hui Sing, Kuching manakala tangkapan kedua dilakukan di Kota Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Alexson, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek terlibat secara langsung dalam kes kecurian kenderaan tersebut.

“Semakan rekod lampau turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah, termasuk kesalahan berkaitan curi kenderaan.

“Dalam operasi sama, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya.

Menjelas lanjut katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah, manakala seorang lagi disahkan negatif.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Terdahulu, Alexson berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang mendapati kenderaannya hilang selepas diletakkan di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan oleh dua lelaki tidak dikenali yang menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton X50,” katanya.

Sehubungan itu, ACP Alexson menasihati orang awam agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kenderaan masing-masing dan tidak mengambil mudah soal keselamatan harta benda.

“Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini dialu-alukan untuk menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444, atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, SJN Mohammad Azril bin Morshidi di talian 019-8183841.

BERITA LAIN

ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan ancaman biologi

MIRI: Latihan simulasi rentas sempadan ASEAN perlu merangkumi senario ancaman biologi di luar jangkaan bagi menguji kesiapsiagaan negara anggota serta keupayaan agensi berkaitan menyelaraskan tindakan

BERITA TERBARU

ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan ancaman biologi

MIRI: Latihan simulasi rentas sempadan ASEAN perlu merangkumi senario ancaman biologi di luar jangkaan bagi menguji kesiapsiagaan negara anggota serta keupayaan agensi berkaitan menyelaraskan tindakan