Polis tahan lelaki Indonesia bantu siasatan kes bunuh

BINTULU: Polis menahan seorang lelaki Indonesia bagi membantu siasatan pembunuhan seorang pengawal keselamatan warga Indonesia dalam insiden di kawasan kem Shin Yang, Batu 22 Jalan Bintulu- Miri Lama, petang Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Jame Reis dalam sidang media petang tadi memberitahu suspek berumur 22 tahun berasal dari Dompu Indonesia ditahan sepasukan anggota Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dan Task Force Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPD Bintulu sebelum sempat melarikan diri.

Suspek yang dikenali sebagai Ari Dwi Supratman ditahan di sebuah bilik sewa atas Kedai Philtech Electronic Services, Kemena Commercial Centre di Jalan Tanjung Batu, kira- kira jam 1.30 petang tadi.

“Turut dirampas ialah sebilah pisau berukuran 37 sentimeter dipercayai digunakan suspek bagi menikam mangsa selain sehelai seluar panjang berwarna coklat jenama Guess dan baju- T berkolar berwarna hijau putih jenama Umbro,” ujarnya.

Menurut Jame, dalam insiden yang berlaku sekitar jam 5.10 petang Khamis di kawasan Batu 22, Jalan Bintulu-Miri itu, suspek telah menikam bahagian perut mangsa yang juga rakan senegara dikenali sebagai Zulkibli berumur 47 tahun sebelum melarikan diri.

Mangsa katanya dihantar oleh pengadu yang bekerja sebagai polis bantuan ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan, namun, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan.

Siasatan terperinci berkaitan insiden tikaman yang mengorbankan mangsa akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dengan tertangkapnya suspek, Jame percaya pihaknya telah berjaya menyelesaikan kes tersebut kurang dari 24 jam selepas insiden berdarah itu.

Ends.
Caption:
Jame menunjukkan pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam rakan senegaranya dalam insiden bunuh di kawasan Kem Shin Yang,Batu 22,Jalan Bintulu- Miri Lama petang Khamis.