BAU: Kegiatan perniagaan barang lusuh tanpa lesen terbongkar apabila polis menahan seorang lelaki tempatan dalam satu operasi di Jalan Taiton, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, P/SUPT Mohd Haide A. Rahman berkata, serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti perniagaan tidak sah di kawasan tersebut.
“Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki berusia 48 tahun yang merupakan penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan satu unit alat penimbang jenama Camry berwarna biru yang dipercayai digunakan dalam urusan jual beli barang lusuh di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Alexson, siasatan awal mendapati premis tersebut dipercayai beroperasi tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekendhend 1946 (Akta 189), yang memperuntukkan tindakan terhadap mana-mana individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Pihak polis mengambil tindakan sewajarnya termasuk merakam percakapan saksi dan suspek serta menjalankan dokumentasi lengkap di lokasi kejadian.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang dan akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta memastikan setiap aktiviti perniagaan dijalankan dengan lesen yang sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.



