KUCHING: Tindakan sebuah kenderaan melarikan diri daripada pihak polis membawa kepada penahanan seorang lelaki selepas insiden kejar-mengejar pada 8 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu video tular berdurasi 46 saat di laman Facebook semalam berhubung penahanan tersebut yang memaparkan seorang lelaki ditangkap polis, dipercayai terlibat dalam kejadian jenayah.
Beliau berkata, pihak polis yang sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah di Jalan Hui Sing sekitar jam 5.30 petang cuba menahan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Pemandu kenderaan tersebut enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri.
“Hasil kejar-mengejar, pihak polis berjaya menahan kenderaan tersebut manakala dua lelaki iaitu pemandu dan penumpang hadapan berjaya melarikan diri dengan meninggalkan seorang lelaki di bahagian penumpang belakang yang kemudiannya berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek mendapati tiada barang menyalahi undang-undang.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau selain hasil saringan ujian air kencing suspek juga didapati negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.

