KUCHING: Seorang lelaki berusia 20 tahun direman sehari bagi membantu siasatan kes khianat menggunakan api di sebuah kedai serbaneka di Jalan Green Road, di sini.
Majistret Nureina Syafika Mohd Najib membenarkan permohonan reman terhadap suspek bermula semalam hingga 10 Oktober mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan khianat menggunakan api atau bahan letupan.
Suspek ditahan pada 8 Oktober lalu sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman.
Sementara itu, seorang lagi suspek berusia 21 tahun yang ditahan pada 5 Oktober lalu turut dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman kali kedua berhubung kes sama.
Bagaimanapun, Majistret Ling Hui Chuan menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman suspek berkenaan selama tujuh hari.
Suspek itu difahamkan dibebaskan daripada tahanan reman selepas permohonan berkenaan ditolak.
Kedua-dua suspek adalah antara individu yang disiasat berhubung beberapa kejadian membakar kedai serbaneka yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Sarawak.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, polis setakat ini menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan, selain mengesan lapan lagi individu yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Tan Chiang Fook, menerusi talian 018-262 8805 atau mengunjungi balai polis berhampiran.






