KOTA SAMARAHAN: Seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘Superman’ di Jalan Kota Samarahan–Sadong Jaya berjaya ditahan polis selepas videonya tular dan menimbulkan kebimbangan keselamatan awam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, kejadian itu tular pada 29 Mac 2026 apabila rakaman video dimuat naik di Facebook, memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha LC135 melakukan aksi berbahaya di jalan raya.
“Aksi berisiko tinggi ini mengundang ancaman kepada penunggang sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Bertindak atas maklumat dan aduan awam katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Kota Samarahan menjalankan risikan dan berjaya mengenal pasti identiti suspek, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.
“Suspek hadir ke IPD Kota Samarahan semalam dan polis mengambil tindakan menahannya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang lain.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya, terutamanya aksi berbahaya yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya.



