KOTA SAMARAHAN: Cubaan seorang lelaki penagih dadah untuk mencuri kabel telekom tidak kesampaian apabila diberkas polis ketika sedang berlegar dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah premis perniagaan, awal pagi kelmarin.
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Kota Samarahan ketika rondaan sekitar jam 1.30 pagi di hadapan kedai Diwey Tyres & Batteries Co. di Midway Crescent.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang objek mencurigakan pada tubuh suspek.
“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Perodua Viva yang digunakan membawa kepada penemuan beberapa barangan dipercayai berkaitan aktiviti mencuri kabel,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Damataries menambah, antara yang dirampas termasuk selonggok wayar telekom pelbagai jenis, seunit pemotong wayar, serta kunci dan alat kawalan jauh yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan.
Katanya, semakan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama isteri suspek yang menetap di Kampung Semilang, Kuching.
“Suspek turut disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selepas ujian saringan awal dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Kota Samarahan.
“Permohonan reman selama empat hari telah dibenarkan oleh pihak mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Hasil siasatan awal, ujar Damataries, mendapati suspek mengaku melakukan jenayah berkenaan secara bersendirian.
Polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam beberapa siri kes curi kabel lain di sekitar Kuching dan Samarahan, katanya.
“Rekod lampau menunjukkan suspek pernah terlibat dalam beberapa kes berkaitan dadah serta kekerasan, yang semuanya telah selesai disiasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, dan pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti jaringan atau kegiatan jenayah lain yang mungkin melibatkan suspek.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras secara menyeluruh,” katanya.

