PADAWAN: Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun ditahan polis malam tadi selepas dipercayai terbabit dalam beberapa siri kejadian membaling batu di kawasan Jalan Batu Kawa di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz bin Md Radzi berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Task Force Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan sekitar 7.15 malam.
“Suspek ditahan di tepi Jalan Batu Kawa dan turut dirampas beberapa ketulan batu yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, Mohd Irwan berkata, polis menerima sebanyak 10 laporan berkaitan kejadian baling batu yang berlaku sejak kebelakangan ini di kawasan tersebut.
Kes kini katanya, disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang boleh menyebabkan kerosakan atau membahayakan keselamatan awam.
“Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan menangkap suspek merupakan hasil kerjasama rapat antara polis dengan orang awam yang tampil memberikan maklumat.
Polis merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang cakna dan segera melaporkan kejadian ini. Tanpa maklumat awam, siasatan tidak akan berjalan secekap ini, ujarnya.
Tambah beliau, pihak polis akan terus mempergiat rondaan dan siasatan di kawasan terlibat bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin.
“Orang ramai dinasihatkan agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.





