PADAWAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan tidak menerima sebarang laporan berkaitan hantaran tular di media sosial oleh seorang penghantar makanan yang dikepung individu tidak dikenali ketika menghantar makanan ke kawasan Matang/ Malihah.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hantaran itu dikesan dimuat naik sekitar jam 12 tengah hari semalam oleh pemilik akaun Facebook, Renn Niel mendakwa dirinya dikepung oleh tiga buah motosikal tidak dikenali semasa menghantar makanan.
Katanya, dia kemudiaannya berpatah balik ke arah Matang sehingga terjumla dengan sebuah kenderaan lalu meminta bantuan pemandu untuk mengiringi kembali ke kawasan Matang Kuching.
“Semakan ke atas hantaran tersebut telah dimuat naik kira-kira 12 jam lalu dan dikongsi semula sebanyk 614 kali.
“Orang ramai diserui tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan berhubung hantaran tersebut yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, sekiranya ada kejadian seumpama itu, individu atau mangsa sepatutnya tampil untuk membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan dapat diambil.
Dalam pada itu, Abang Zainal turut menyeru masyarakat agar terus mempercayai pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang.
Katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat atau ditularkan ke dalam media sosial bukan sahaja memberikan tanggapan negatif berkenaan tahap keselamatan tetapi dikhuatiri ianya hanya salah satu pemudah cara individu tertentu untuk mendapatkan rating dalam laman media sosial.
Tambahnya, kenyataan yang mendatangkan kegusaran kepada awam di laman media sosial boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, orang awam dialu-alukan untuk menyalurkan apa sahaja maklumat berkaitan jenayah ke bilik gerakan IPD Padawan di Talian 082-862233.






