MIRI: Tindakan pantas IPD Miri berjaya menumpaskan satu kes samun berkumpulan yang berlaku di Goodwill Garden Jalan Sepupok, Batu Niah pada awal pagi 27 Mac 2026.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, sembilan suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa kira-kira jam 4.48 pagi sebelum menahan mangsa dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk telefon bimbit, tablet serta cincin emas.
“Melalui Operasi Casa, lima suspek berjaya ditahan kurang 24 jam selepas laporan diterima manakala empat lagi ditangkap dalam siri serbuan susulan.
“Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan,” jelasnya dalam kenyataan.
Dalam operasi itu, Mohd Farhan berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun bagi menguatkan bukti.
Kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berumur antara 17 hingga 48 tahun dikesan positif dadah melalui ujian saringan air kencing.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.




