ARTIKEL

Mohd Daud (tengah) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum kepada Nur Baltrize Allisa Ahmad Shukri Sumol dari Politeknik Mukah sempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak Tahun 2026, Sidang 3 di DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini hari ini.

Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) beri peluang golongan bekerja sambung pengajian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) berjaya membuktikan keupayaannya mentransformasikan ribuan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada aliran Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas (KSI) menjadi lulusan bidang teknologi dan kejuruteraan.

Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Daud Isa berkata seramai 11,299 pelajar lepasan SPM daripada aliran berkenaan berjaya beralih ke bidang teknologi dan kejuruteraan pada tahun ini.

Katanya, usaha itu selaras dengan hasrat dan komitmen negara untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama dalam membentuk kerjaya masa depan rakyat Malaysia.

Mohd Daud ketika berucap.

“Bagi 2025, PolyCC telah melahirkan seramai 31,873 graduan dan daripada jumlah tersebut, 25,571 atau 80.2 peratus merupakan lulusan aliran KSI.

“Daripada jumlah graduan aliran KSI tersebut pula, seramai 7,873 merupakan graduan bidang kejuruteraan manakala 7,194 lagi dalam bidang teknologi yang berjaya menamatkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak Tahun 2026, Sidang 3 di DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa PolyCC kini berdiri teguh sebagai peneraju utama TVET negara dengan kekuatan 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh Malaysia.

“Ekosistem PolyCC disokong tenaga kerja hampir 15,000 orang, manakala enrolmen pelajar semasa kini melebihi 100,000 orang.

“Di Sarawak sahaja terdapat tiga politeknik dan enam kolej komuniti,” ujarnya.

Menurutnya, PolyCC turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan bagi kemasukan pelajar Sesi Akademik I: 2026/2027 apabila seramai 32,513 pelajar mendaftar di politeknik, mencatatkan peningkatan sebanyak 138 peratus.

Jelasnya, seramai 7,110 pelajar pula mendaftar di kolej komuniti, mencatatkan peningkatan sebanyak 81.2 peratus.

“Peningkatan ini menunjukkan permintaan yang tinggi terhadap sistem pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata PolyCC terus memperkukuh Pendigitalan dan Pembelajaran Fleksibel (ODVL), selaras dengan hasrat Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi untuk meluaskan akses pendidikan.

Beliau menyatakan bahawa melalui PolyCC, golongan bekerja kini berpeluang menyambung pengajian tanpa perlu berhenti kerja.

“Selain itu, pengiktirafan pengalaman terdahulu atau APEL diselaraskan bagi mengangkat pengalaman kerja sedia ada sebagai syarat kemasukan rasmi.

“Komitmen kita terhadap akses pendidikan inklusif terus diperkasakan dengan membuka peluang kepada pelbagai kategori pelajar, antaranya pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan B40.

“Perkara ini adalah bagi memastikan mobiliti sosial dapat ditingkatkan melalui pendidikan berkualiti pada kos yuran yang kompetitif,” tegasnya.

Sementara itu, seramai 547 graduan menerima pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Sarawak Tahun 2026, Sidang 3 hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 91 graduan berasal dari Politeknik Kuching Sarawak, 372 dari Politeknik Mukah, 50 dari Kolej Komuniti Mas Gading, 24 dari Kolej Komuniti Miri dan 10 dari Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Hilmun Mohamed; Pengarah Politeknik Kuching Sarawak merangkap Pengerusi Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Sarawak Tahun 2026, Mohamad Nazri Ismail serta wakil-wakil agensi berkaitan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU