SELANGOR: Pasukan polo air wanita Sarawak mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat emas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 selepas menewaskan tuan rumah Selangor 12-10 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Selangor sebentar tadi.
Sarawak berjaya mendahului tuan rumah 4-2 pada suku pertama dan meneruskan penguasaan pada suku kedua dengan kelebihan 6-3.
Saingan semakin sengit pada suku ketiga, namun Sarawak terus kekal di depan dengan 9-6.
Selangor yang enggan mengalah meningkatkan tekanan pada suku keempat.
Bagaimanapun, penguasaan Sarawak sukar dibendung apabila skuad itu memuktamadkan kedudukan 12-10, sekali gus kemenangan memihak kepada kontinjen Bumi Kenyalang itu.
Kejayaan tersebut turut melengkapkan kempen cemerlang skuad wanita Sarawak yang mempamerkan prestasi konsisten sepanjang temasya kali ini.
Sarawak sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan ke atas Pulau Pinang sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Wilayah Persekutuan 19-6.
Skuad itu meneruskan momentum sehingga mara ke perlawanan akhir sebelum menundukkan Selangor dalam perebutan pingat emas.
Kemenangan bersejarah itu bukan sahaja menyaksikan Sarawak muncul juara acara polo air wanita SUKMA XXII, malah menjadi pencapaian terbaik pasukan berkenaan dengan membawa pulang pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan mereka di temasya SUKMA.



