KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak menetapkan sasaran untuk meningkatkan kadar sara diri bagi daging lembu, kerbau dan kambing dan bebiri daripada 15 peratus kini kepada 25 peratus pada tahun 2030.
Timbalannya Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, untuk mencapai sasaran ini, populasi ternakan ruminan perlu dipertingkatkan kepada 158,750 ekor ternakan ruminan.
“Ia terdiri daripada 60,000 ekor lembu, 20,000 ekor kerbau dan 78,750 ekor kambing dan bebiri. Ini juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS2030),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Serembu, Miro Simuh berhubung industri penternakan di negeri ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Jelas ADUN Bukit Kota itu, kementeriannya juga telah diperuntukkan sebanyak RM 40 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk melaksanakan pelbagai program untuk ternakan ruminan dalam PCDS 2030.
“Setakat 2024, populasi ternakan ruminan adalah dalam lingkungan 35,000 ekor berbanding 32,000 ekor pada tahun 2023.
“Peningkatan sebanyak 3,000 ekor ini telah memberikan dorongan kepada Kementerian saya untuk terus memantapkan usaha bagi membangunkan industri ternakan ruminan termasuk menggalakkan penyertaan pihak swasta bagi penternakan ruminan berskala komersial dan moden,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh mengenai beberapa inisiatif PCDS 2030, termasuk meneruskan skim pawah ternakan ruminan dengan menyediakan baka ternakan yang berkualiti tinggi daripada Australia untuk diagihkan kepada penternak.

