KUCHING: Persatuan Industri Fondri dan Kejuruteraan Sarawak (SWKFEIA) berpotensi menjadi pemacu ekonomi hijau sekiranya mampu membekalkan komponen bingkai aluminium untuk panel solar yang menyokong kelangsungan tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak kini mengorak langkah ke arah sumber tenaga baharu seperti hidrogen, hidro dan solar yang kesemuanya memerlukan penyelenggaraan berkala.
“Panel solar memerlukan pendekatan baharu dari segi penyelenggaraan kerana bingkainya diperbuat daripada aluminium, dan di sinilah peranan SWKFEIA untuk menghasilkan serta membekalkan kerangka tersebut bagi menampung panel solar,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-31 Persatuan Industri Fondri dan Kejuruteraan Sarawak (SWKFEIA), di sini, malam tadi.
Menurutnya, penyelenggaraan panel solar juga membuka peluang ekonomi kerana ia memerlukan pembersihan dan perkhidmatan khusus bagi memastikan keberkesanan jangka panjang.
“Kawasan perumahan baharu kini akan digalakkan menggunakan tenaga solar bukan sahaja di bumbung, malah juga di dinding, dan Sarawak juga bertuah kerana mempunyai kilang Longi yang menghasilkan panel solar.
“Namun, panel ini masih berasaskan silikon dan memerlukan proses pembersihan secara berkala. Sekiranya ada pakar dalam penyelenggaraan panel solar ini, maka penggunaan tenaga boleh diperbaharui dapat diperkukuh dan berdaya tahan untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Abang Johari turut menekankan bahawa tenaga hidrogen yang digunakan dalam sistem Transit Aliran Autonomi (ART) juga menuntut kepakaran penyelenggaraan baharu.
“Apabila bercakap tentang hidrogen, ia berkait rapat dengan ART. Enjin sel bahan api hidrogen yang digunakan ART tidak sama seperti enjin petrol.
“Justeru, juruteknik dan mekanik kita perlu bersedia dengan cara baharu untuk menyelenggara pengangkutan awam berteknologi bersih ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan industri tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen, solar dan metanol hijau akan membuka permintaan besar terhadap perkhidmatan sokongan kejuruteraan.




