KUCHING: Engkilili berpotensi dibangunkan sebagai kawasan hentian budaya apabila kedudukannya di laluan ke Ulu Skrang mampu mengetengahkan keunikan rumah panjang tradisi Iban, sekali gus menjana ekonomi komuniti setempat.
ADUN Engkilili Dr Johnichal Rayong Ngipa berkata, Engkilili berhampiran dengan Skrang Safari terutamanya kawasan Nanga Mejong dan Nanga Entalau di Ulu Skrang.
“Engkilili yang terletak di laluan ke Ulu Skrang berpotensi dibangunkan sebagai aset pelancongan budaya, khususnya melalui rumah panjang tradisi Iban yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Saya memohon agar program rumah inap dan latihan pemandu pelancong tempatan juga perlu diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Dalam hal berkaitan, beliau turut menekankan potensi Engkilili sebagai kawasan pertanian berasaskan padi bukit, getah, lada dan sawit kecil yang menjadi sumber hidup rakyat.
“Kerajaan Sarawak memperkenalkan Ordinan Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 untuk Pembangunan Padi.
“Saya mohon agar Kawasan Engkilili, terutamanya Batang Air Engkilili dan Skrang Hilir Engkilili dijadikan kawasan perintis kawasan pembangunan padi di bawah Seksyen 34 Ordinan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon agar kemudahan asas di kawasan pedalaman Engkilili diberi perhatian lebih menyeluruh, khususnya melibatkan jalan raya, jambatan, bekalan air bersih, pendidikan, kesihatan dan capaian digital.
“Beberapa projek jalan di Batang Air Hilir Engkilili, Geligau, Sepalau, Kerangas hingga ke Tumbang Ulu Skrang serta jalan-jalan lain amat penting bagi meningkatkan kemudahan kehidupan penduduk setempat,” tegasnya.
Beliau juga memohon agar projek Jambatan Nanga Entalau dan Nanga Merio dapat dilaksanakan segera demi kemudahan penduduk setempat.
“Bekalan air bersih di kawasan San Semanju, Sebeliau, Stengin, Sedarat, Batang Hilir Engkilili, Skrang Hilir, Kaong, Lidong dan kawasan sekitar harus diberi perhatian.
“Aspek pendidikan pula, saya memohon agar sekolah-sekolah daif turut diberi keutamaan, termasuk SK Skrang Kem yang dicadangkan untuk dibina semula berikutan keadaan bilik darjah yang lama dan usang,” ujarnya.



