KUALA LUMPUR: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air (GP Bahrain) di Malaysia, selaku tuan rumah, berpotensi menjadi pemangkin utama ekonomi dengan merangsang pelbagai sektor melalui perbelanjaan lebih tinggi oleh pengunjung domestik dan antarabangsa.
Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, acara itu boleh menjana aktiviti ekonomi bernilai lebih RM1 bilion, disokong peningkatan perbelanjaan untuk sektor pelancongan, penerbangan, hospitaliti dan sektor lain yang berkaitan.
Beliau berkata acara itu akan meningkatkan kepenghunian hotel dan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan pelancongan serta aktiviti makanan dan minuman (F&B), seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengunjung akan menjana manfaat ekonomi yang lebih luas melalui peningkatan pendapatan, pekerjaan dan peluang perniagaan.
“Perlumbaan ini juga akan melonjakkan kebolehlihatan global terhadap Malaysia melalui liputan media antarabangsa yang meluas di samping menyediakan peluang untuk Malaysia menyerlahkan infrastruktur, kesambungan dan persekitaran perniagaan negara kepada bakal pelabur,” katanya.
Barjoyai menganggarkan acara itu boleh menjana kira-kira tambahan 50,000 pengunjung antarabangsa berdasarkan senario asas.
Berdasarkan andaian 90 peratus daripada pengunjung itu tiba melalui udara, acara tersebut boleh menyumbang sekitar 45,000 pergerakan penumpang dalam negara dan 45,000 pergerakan penumpang luar negara, menjadikan jumlah pergerakan penumpang tambahan kepada kira-kira 90,000.
“Peningkatan ketibaan antarabangsa boleh membantu meningkatkan faktor muatan syarikat penerbangan, terutama di laluan serantau dari Singapura, Thailand, Indonesia, China, Jepun, Australia dan Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata trafik penumpang yang lebih tinggi juga boleh memberikan manfaat limpahan kepada peruncitan dan perkhidmatan sampingan di lapangan terbang.
Secara keseluruhannya, pelancongan dan peruncitan dijangka meraih manfaat paling besar, disokong oleh ketibaan dan perbelanjaan pengunjung yang lebih tinggi, dengan impak ekonomi meluas berkemungkinan menjadi lebih ketara apabila acara itu semakin hampir.-Bernama



