KUCHING: Keadaan pesakit diabetes yang mengalami komplikasi serius sehingga terpaksa dipotong kaki kini menjadi isu membimbangkan yang berlaku hampir setiap minggu di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, situasi ini menunjukkan betapa seriusnya ancaman penyakit tidak berjangkit seperti diabetes yang kini semakin menular.
“Setiap minggu, akan ada sekurang-kurangnya satu kes di HUS melibatkan pesakit yang terpaksa dipotong kaki. Kenapa? Kerana mereka menghidap diabetes.
“Kaki mereka mula mengalami ulser yang tidak sembuh.
Dan apabila jangkitan mula merebak ke seluruh badan, satu-satunya langkah seterusnya ialah amputasi,” ujarnya kepada Suara Sarawak pada Persidangan Lecur dan Luka Antarabangsa Ke-5 2025 di sini, hari ini.
Jelas beliau, amputasi bukan hanya melibatkan kesakitan fizikal, tetapi turut memberi kesan besar kepada kehidupan pesakit dari segi penyesuaian diri, penggunaan prostetik dan juga kesihatan mental.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Sim turut menegaskan bahawa Sarawak kini muncul sebagai antara peneraju utama dalam bidang penyelidikan klinikal hospital di negara ini.
“Industri penyelidikan klinikal ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2013 dan sejak itu sehingga tahun lalu, ia berjaya menjana perolehan sebanyak RM1 bilion.
“Sarawak sebenarnya memainkan peranan penting.
Tahun lalu, daripada lima kajian ujian pertama terhadap manusia yang dijalankan di Malaysia, empat daripadanya dilakukan di Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, pada tahun ini sahaja, kesemua empat kajian fasa awal manusia yang dijalankan di negara ini juga dilaksanakan di negeri ini.
Kejayaan tersebut, katanya, membuktikan kemampuan pasukan penyelidik Sarawak yang kini mencapai piawaian antarabangsa dengan membina industri penyelidikan yang mampan dan sentiasa relevan.

