LAWAS: Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) terus membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak melalui peruntukan tetap sebanyak RM1 juta setahun bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sejak dilaksanakan pada 2018, program itu menjadi komitmen Kerajaan Sarawak dalam membantu golongan memerlukan, khususnya mereka yang tinggal di rumah daif dan tidak selamat.

“Pelaksanaan program ini dibuat secara gotong-royong dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN, jabatan-jabatan kerajaan, Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta ketua-ketua kaum.
“Keutamaan diberikan kepada pemohon yang benar-benar layak dan disahkan oleh ketua masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Majlis PPRMS di Kampung Ladang Baru, Lawas, semalam.
Beliau yang juga ADUN Bukit Sari menjelaskan bahawa bantuan yang disalurkan sehingga kini bukan sahaja melibatkan baik pulih rumah, tetapi juga pembinaan semula rumah yang usang.
Selain itu, katanya, Kerajaan Sarawak turut menyediakan skim perumahan khas untuk rakyat yang memiliki tanah sendiri dan berhasrat membina rumah.
“Skim tersebut menawarkan kemudahan pembiayaan yang lebih mudah dan fleksibel, menjadikan Sarawak satu satunya negeri di Malaysia yang menyediakan skim seumpamanya,” jelasnya.
Awang Tengah turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak merancang untuk melaksanakan lebih banyak projek perumahan baharu, termasuk pembesaran dan penempatan semula kampung.
“Projek-projek tersebut akan dibangunkan mengikut spesifikasi terkini meliputi jalan berturap, parit konkrit, tembok penahan tanah, bekalan air bersih serta elektrik, dengan premium tanah hanya RM2,500 yang boleh dibayar secara ansuran,” ujarnya.
Dalam pada itu, majlis tersebut turut diserikan dengan acara simbolik apabila beliau bersama-sama Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong melawat kediaman penerima bantuan.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Datu Ir. Ts. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latif serta jemputan lain.

