BALINGIAN: Kerajaan sentiasa komited memastikan setiap rakyat mempunyai kediaman yang selesa dan selamat sebagai asas kepada kesejahteraan hidup, kata ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Menurutnya, komitmen itu terbukti melalui pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang memberi manfaat kepada golongan layak.
“PPRS merupakan antara inisiatif kerajaan bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah supaya mempunyai kediaman yang selesa.
“Penyediaan rumah yang lebih selesa bukan sahaja memberi perlindungan kepada penerima, malah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan tapak projek siap bina baharu PPRS kepada penerima, di Kampung Lintang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap penerima dapat memanfaatkan rumah yang diterima dengan sebaik-baiknya dan menjadikannya sebagai permulaan kepada kehidupan lebih selesa bersama-sama keluarga.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, termasuk Pejabat Daerah Kecil Balingian, agensi pelaksana dan pihak kontraktor yang menyiapkan pembinaan rumah tersebut.
“Kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” tambahnya.
Terdahulu, penerima rumah tersebut ialah Mohammad Fakhry Fasyin dan kontraktor terlibat, Assna Resources.




