KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) berjaya membantu seorang pengguna mendapatkan semula wang berjumlah RM3,134.32 yang hilang daripada akaun banknya menerusi transaksi tanpa kebenaran.
Presiden PPS, Dr Wynson Ong Teck Ping berkata, pengguna berusia 49 tahun itu tidak menggunakan kemudahan perbankan dalam talian bagi urusan perbankan harian, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bagaimana transaksi berkenaan boleh berlaku tanpa pengetahuannya.
Menurutnya, pengadu segera ke mesin CDM untuk mengeluarkan baki wang yang masih ada selepas menerima mesej pemberitahuan mengenai pengeluaran wang daripada akaunnya bagi mengelakkan kehilangan lanjut.
“Persoalan utama bukan hanya sama ada wang pengguna boleh dikembalikan selepas sesuatu insiden berlaku, tetapi mengapa perkara seperti ini boleh terjadi pada peringkat awal?
“Pengguna menyimpan wang dalam institusi perbankan kerana mengharapkan keselamatan, perlindungan dan keyakinan bahawa wang mereka tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pengadu kemudian hadir ke bank untuk mendapatkan penjelasan dan bantuan berhubung transaksi mencurigakan itu, namun tindakan awal yang dicadangkan pihak bank hanyalah menggantikan kad bank.
Susulan itu, PPS mengambil inisiatif menghubungi pihak bank bagi mendapatkan penjelasan, menyemak status transaksi serta menuntut penyelesaian terhadap kehilangan wang berkenaan.
Hasil perbincangan dan tindakan susulan bersama pihak bank, pengadu akhirnya berjaya mendapatkan semula keseluruhan wang berjumlah RM3,134.32.
Wynson berkata, kejayaan mendapatkan semula wang tersebut tidak seharusnya menamatkan persoalan mengenai tahap keselamatan sistem perbankan, khususnya bagaimana transaksi tanpa kebenaran boleh berlaku.
Katanya, pihak bank tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada penyelesaian selepas aduan dibuat, sebaliknya perlu mengutamakan langkah pencegahan, pengesanan transaksi mencurigakan dan tindakan segera bagi melindungi wang pelanggan.
“Pihak bank tidak boleh hanya mengambil pendekatan menyelesaikan masalah selepas aduan dibuat. Aspek pencegahan, pengesanan transaksi mencurigakan dan tindakan segera untuk melindungi wang pelanggan juga perlu diberikan keutamaan.
“Pengguna tidak sepatutnya menanggung kebimbangan dan risiko akibat kelemahan keselamatan yang berada di luar kawalan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, PPS menggesa pihak bank supaya memastikan setiap aduan berkaitan transaksi tanpa kebenaran disiasat secara menyeluruh, telus dan bertanggungjawab.
Beliau turut menegaskan bahawa semua lapisan pengguna, tanpa mengira usia atau tahap kemahiran menggunakan teknologi, perlu mendapat perlindungan keselamatan perbankan yang sewajarnya.
Katanya, wang simpanan pengguna merupakan hasil titik peluh mereka dan keselamatannya perlu menjadi keutamaan institusi perbankan.
Pengguna yang mempunyai aduan atau permasalahan berkaitan hak pengguna boleh menghubungi PPS menerusi talian 017-7109299.




