ARTIKEL

Projek RM25.7 juta tingkat bekalan air Julau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Sistem bekalan air di pekan Julau dan kawasan berhampiran kini dipertingkat menerusi pelaksanaan Projek Bekalan Air Julau Pakej 1 bernilai RM25.7 juta yang mula beroperasi pada 14 Ogos lalu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, projek berkenaan berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat serta memperbaiki kecekapan pengagihan bagi menampung permintaan penduduk.

Katanya, projek yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu itu melibatkan kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Julau dengan tambahan kapasiti sebanyak 3.4 juta liter sehari (JLH).

“Ia turut merangkumi pembinaan muka sauk dan stesen pam air mentah serta pemasangan paip baharu sepanjang 28.8 kilometer.

“Penambahbaikan ini membolehkan kawasan pekan Julau menikmati tekanan air lebih stabil dan bekalan yang berterusan tanpa pelaksanaan catuan atau pengurangan bekalan pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Julau, di sini, hari ini.

Tambahnya, penduduk dari Bejawai hingga Nanga Luau yang sebelum ini belum menerima bekalan air terawat kini turut mendapat manfaat daripada projek berkenaan.

Selain itu, kapasiti tambahan membolehkan bekalan air disalurkan ke kawasan sepanjang Jalan KJD, khususnya dari Batu 15 hingga Batu 17 yang sebelum ini bergantung kepada sumber bekalan dari Machan, Kanowit.

“Kerajaan Sarawak terus memperluas pembangunan infrastruktur air bersih secara berperingkat bagi menjamin keperluan asas penduduk, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU