KUCHING: Seorang wanita mengalami kerugian RM1,584.45 selepas menjadi mangsa urus niaga di platform jualan dalam talian Facebook, Jun Live Mall, yang didakwa tidak telus baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS), Dr Wynson Ong, berkata platform tersebut didakwa terlibat dalam urus niaga yang tidak jujur, menipu atau meragukan, sehingga menyebabkan kerugian kepada pembeli.
“Transaksi ini dilaporkan bermula sejak November 2025 dan ini bukan kes pertama. Sebelum ini, PPS pernah menerima aduan mengenai proses pemulangan wang yang lambat – ada yang menunggu sehingga 360 hari, malah kes terburuk mencecah 1,000 hari.
“Penjual berkenaan juga sering mempamerkan gaya hidup mewah di Facebook, menimbulkan keraguan pengguna terhadap urus niaga yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Dr Wynson Ong berkata, bagi menangani isu ini, PPS menyerahkan bukti rakaman video kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa agensi kerajaan.
Menurutnya, platform jualan itu kini ditutup sementara selepas tindakan pihak berkuasa.
“PPS juga membantu pengadu dengan mengiringinya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
“Pegawai TTPM memberikan penerangan jelas mengenai prosedur tuntutan dan pengadu telah memfailkan Borang 1 untuk menuntut wangnya kembali secara rasmi,” katanya.

Dr Wynson Ong berkata, PPS akan terus menjadi platform sokongan pengguna, memberi panduan serta menyelesaikan masalah urus niaga dalam talian. PPS menyeru semua penjual mematuhi undang-undang, menjaga sensitiviti masyarakat dan mengamalkan etika perniagaan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli dalam talian dan menghubungi saluran rasmi jika menghadapi sebarang masalah.
“Sebarang aduan boleh disalurkan ke PPS di talian 017-7109299,” katanya.



