SIBURAN: Dewan Serbaguna Taman Duranda Emas di sini dikenal pasti untuk dinilai dan dinaik taraf sebelum didaftarkan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi keperluan pemindahan mangsa banjir pada masa hadapan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu diambil susulan penggunaan dewan berkenaan sebagai PPS yang kini menempatkan 188 mangsa banjir daripada 48 keluarga setakat jam 3 petang tadi.
Katanya, kesemua mangsa dipindahkan sejak jam 3 pagi selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak semalam.
“Kekurangan pusat pemindahan menyebabkan dewan ini digunakan bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas banjir terjaga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS berkenaan petang tadi.
Uggah menambah, isu melibatkan kemudahan tandas dan bekalan air telah berjaya diselesaikan termasuk penyediaan tandas tambahan melalui penajaan pihak luar bagi memastikan keselesaan mangsa sepanjang tempoh pemindahan.
Sehubungan itu beliau meminta pihak berkaitan menjalankan penilaian menyeluruh bagi menentukan keperluan menaik taraf kemudahan asas seperti sistem sanitasi, bekalan air dan kesesuaian dewan tersebut sebagai PPS kekal pada masa hadapan.
“Langkah naik taraf ini penting memandangkan kejadian banjir kini semakin kerap berlaku akibat hujan lebat berterusan sekali gus menuntut kesiapsiagaan yang lebih baik dalam penyediaan pusat pemindahan.
“Kerjasama pelbagai agensi termasuk JPBNS, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Majlis Daerah Siburan dan pihak berkuasa turut memastikan kebajikan mangsa terjaga sepanjang berada di pusat pemindahan,” jelasnya.

Sementara itu kata Uggah, lapan PPS telah dibuka untuk menampung mangsa banjir dengan daerah Serian merekodkan kawasan terjejas banjir yang teruk.
Katanya, antara PPS yang dibuka adalah Balairaya Kampung Betong Kanowit, SK Tanah Merah Kampung Turong, SK St Peter Simpok Kampung Simpok, Dewan Taman Duranda Emas, Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru, Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi, Dewan Kampung Rimba Padi serta Dewan Sri Tok Nan Kampung Seniawan Jepon.
“Kami masih belum menerima maklumat lengkap mengenai jumlah mangsa di lokasi lain yang terjejas.
“Selain itu, 15 lokasi tanah runtuh dan 13 jalan utama di daerah ini dilaporkan terputus. Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian, pasukan telah dihantar ke kawasan terjejas untuk membersihkan dan memperbaiki jalan bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan,” katanya.


