ARTIKEL

Premier Ketuai Perarakan Gawai Dayak 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Paluan gong dan laungan sorakan semangat perpaduan Segulai Sejalai bergema di Kuching apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai lebih 90 kontinjen dalam Perarakan Gawai Dayak 2025, hari ini.

Mengenakan busana tradisional lebih 30 etnik menampilkan pelbagai keunikan kebudayaan negeri ini dan membawa semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk.

Perarakan Gawai atau lebih dikenali sebagai Niti Daun, ini bermula dari Bangunan Tun Jugah hingga ke Tebingan Kuching itu menyerlahkan kekayaan warisan budaya masyarakat Dayak yang diwarisi turun-temurun.

Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, seramai 92 kontinjen menyertai perarakan tahun ini, menjadikannya antara yang terbesar pernah diadakan.

“Ini merupakan satu sumbangan bermakna daripada kaum Dayak kepada pembangunan negara. Ia juga menjadi medium untuk memperkaya budaya masyarakat Sarawak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Perarakan Sambutan Gawai 2025 di sini.

UNIK…Sekitar Perarakan Gawai Dayak 2025 di Tebingan Kuching, hari ini. Foto: Alif Noni

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta sokongan padu kerajaan negeri dalam menjayakan acara penuh simbolik itu.

Perarakan yang bermula tepat 2.20 petang itu disertai oleh barisan kepimpinan negeri termasuk Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta menteri-menteri kabinet yang lain.

Bertemakan ‘Peji Kenep Panau Pegep Segulai Sejalai’ yang bermaksud ‘berjalan bersama-sama seiringan dalam satu haluan’, Niti Daun tahun ini mempersembahkan warisan pelbagai suku kaum termasuk Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, dengan persembahan tarian kebudayaan, alunan muzik etnik seperti sape, oguong dan kitaak, serta busana tradisional memukau.

Sebanyak 12 kenderaan berhias turut mengambil bahagian.

Perarakan turut mengekalkan elemen asal tradisi, apabila para peserta daripada pelbagai lapisan umur tampil mengenakan pakaian tradisional lengkap sambil mempersembahkan tarian ngajat, nyanyian rakyat dan iringan muzik tradisional yang menghidupkan semula suasana Gawai zaman dahulu.

Sebelum perarakan bermula, Upacara Mamat dijalankan di Lobi Bangunan Tun Jugah oleh komuniti Ulu yang diketuai Pemanca Tony Kulleh, Pemanca Kaum Kenyah Belaga.

Upacara itu, yang dikendalikan oleh Majlis Adat dan Tradisi Sarawak, bertujuan memohon restu dan perlindungan roh nenek moyang sebagai pembuka acara yang bersih dan diberkati.

Perarakan tahun ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Penganjuran Perarakan Budaya Gawai Dayak Peringkat Sarawak yang dipengerusikan oleh Adun Murum, Kennedy Chukpai Ugon.

Penganjuran diadakan secara bergilir antara komuniti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, bagi memastikan keunikan budaya setiap etnik terus diketengahkan menerusi tema dan pengisian acara yang berbeza saban tahun.

Menambah kemeriahan, perarakan turut disertai oleh komuniti Kadazan-Dusun melalui Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak serta delegasi khas dari Kalimantan Utara, Indonesia diketuai oleh Wakil Gubernur, Bapa Ingkong Ala, SE, M.Si dan Presiden Majelis Adat Dayak Nasional, Senator Dr Marthin Billa.

Tiga kontinjen terbaik diumumkan dalam tiga kategori utama, iaitu Orang Ulu dimenangi Persatuan Tagal Okolod Sarawak; sementara Iban; Persatuan Raban Betong 2025 manakala kategori Bidayuh adalah Persatuan Pewaris Adat Asal Singgai Bau.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Perarakan Niti Daun ini merupakan salah satu daripada empat acara utama Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 selain Gawai Bazaar Dayak (15–25 Mei); Karnival Gawai Tradisi (12–13 Jun) dan Majlis Makan Malam Gawai Dayak yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun ini.

BERITA LAIN

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan