KUCHING: Sarawak perlu berani melaksanakan perubahan dalam teknologi dengan mencontohi pendekatan transformasi di China, khususnya dalam tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan ekonomi untuk melonjak sebagai negeri maju menjelang 2030.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keberanian China mengadaptasi teknologi baharu sehingga muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia boleh dijadikan inspirasi untuk Sarawak menapak ke hadapan.
“Pada awal 1990-an, saya berpeluang melawat Shenzhen yang ketika itu menjadi kawasan pertama dibuka kepada dasar baharu diperkenalkan oleh Deng Xiaoping dan dari situlah bermulanya pembangunan pesat yang merebak ke Shandong hingga ke Tianjin di utara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-31 Persatuan Industri Fondri dan Kejuruteraan Sarawak (SWKFEIA), di sini, malam tadi.
Beliau turut mengimbas pengalaman melawat Beijing yang ketika itu dilanda pencemaran teruk akibat asap arang batu, namun kini berubah menjadi bandar moden yang bersih.
“Dua contoh ini membuktikan bahawa kita juga mesti berani berubah, sebagaimana pepatah Deng Xiaoping yang menyebut tidak kisah kucing hitam atau putih, asalkan ia dapat menangkap tikus, bermaksud kejayaan dan hasil lebih penting daripada ideologi atau cara digunakan,” jelasnya.
Menurutnya, Sarawak kini sedang melaksanakan transformasi serupa dengan menerajui teknologi tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen, turbin gas dan tenaga solar.
“Kita bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak dari sungai, justeru hidrogen dapat diekstrak melalui proses elektrolisis bagi menghasilkan bahan api bersih untuk kenderaan dan sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Autonomi (ART),” jelasnya.
“Selain itu, Sarawak juga sedang membangunkan tenaga solar terapung dan kita turut menggalakkan penggunaan panel solar di perumahan baharu.
“Teknologi terkini membolehkan panel solar dipasang bukan sahaja di bumbung, malah di dinding bangunan dan inilah bentuk teknologi serta inovasi yang perlu kita terima,” ujarnya.
Katanya, Sarawak turut meneroka projek strategik yang melibatkan pakar tempatan dan kerjasama rakan global dalam bidang inovasi berteknologi tinggi seperti menghasilkan cip keteq.GaN pertama di dunia menggunakan Gallium Nitride, yang lebih kukuh dan tahan haba berbanding silikon.
“Justeru, kita mesti mengaplikasikan kejayaan negara lain di Sarawak agar dapat mencapai taraf negeri maju menjelang 2030 serta meningkatkan pendapatan isi rumah,” tegasnya.






