KUCHING: Kediaman Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) Datuk Tan Jit Kee turut menjadi kunjungan wajib Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina (TBC).
Mengulas mengenai itu, Tan memberitahu hubungan baiknya dengan Premier memang sudah rapat sekian lama lagi.
“Hubungan kami sangat rapat. Kami memang berkawan rapat sejak beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri.
“Beliau memang tidak pernah tidak mengunjungi rumah saya setiap kali perayaan TBC, kecuali dua tahun lalu pada musim penularan Covid-19 kerana kita tidak dibenarkan untuk berkunjung,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, hari ini.
Beliau pada masa menzahirkan terima kasih kepada Premier kerana sentiasa meluangkan masa berkunjung ke kediamannya.
Abang Johari tiba di pekarangan rumah Tan Jit Kee di Jalan Ong Tiang Swee kira-kira jam 2.45 petang, beliau disertai isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Beliau turut diiringi Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

