ARTIKEL

Premier of Sarawak Debate Challenge Cup 2026 tawar hadiah RM10,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertandingan Premier of Sarawak Debate Challenge Cup (PSDC) 2026 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 kepada pemenang pertandingan debat antara institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Selain wang tunai, pasukan yang berjaya turut berpeluang membawa pulang Piala Premier Sarawak, piala iringan, pingat serta sijil.

Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dalam kenyataan hari ini memberitahu, PSDC 2026 merupakan pertandingan debat antara institusi pengajian tinggi yang diperkenalkan sebagai platform pembangunan intelektual dan kepimpinan bagi melahirkan generasi muda berfikiran kritis, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

“Mengangkat tema “Engaging Minds, Advancing Sarawak”, PSDC 2026 merupakan inisiatif baharu yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, komunikasi strategik, pemikiran analitikal serta literasi dasar awam dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran pertandingan ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama kemajuan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, AZAM berkata, PSDC 2026 dijadualkan berlangsung pada Ogos 2026 dengan tarikh rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Bagi edisi sulung penganjurannya, PSDC 2026 akan dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris menggunakan format Asian Parliamentary Debate, iaitu format yang digunakan secara meluas dalam pertandingan debat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pendekatan ini bertujuan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan mahasiswa serta membina keyakinan mereka untuk berhujah dan berkomunikasi dalam persekitaran akademik serta profesional.

Penganjuran edisi pertama ini juga akan menjadi penanda aras bagi menilai sambutan serta penyertaan institusi pengajian tinggi sebelum pertandingan diperluaskan pada masa hadapan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan PSDC 2026 dibuka kepada 16 pasukan sahaja yang mewakili universiti awam, universiti swasta dan institusi pengajian tinggi di seluruh Sarawak.

Katanya, pemilihan penyertaan akan dibuat berdasarkan konsep “First Come, First Served” dan pendaftaran akan ditutup sebaik sahaja kuota dipenuhi.

“Sehubungan itu, institusi yang berminat disaran mengemukakan penyertaan seawal mungkin bagi memastikan tempat mereka,” tambahnya.

AZAM menambah, sepanjang pertandingan, para peserta akan membahaskan pelbagai usul berkaitan pembangunan Sarawak termasuk pendidikan, ekonomi, teknologi, inovasi, tenaga hijau, pembangunan mampan, pengangkutan awam, kebajikan rakyat serta dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak.

PSDC 2026 akan menjadi platform untuk membentuk mahasiswa yang mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, berhujah secara profesional, berkomunikasi dengan berkesan, bekerja secara berpasukan serta mengemukakan penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu pembangunan negeri.

“Pertandingan ini turut memperkukuh budaya wacana intelektual dan menggalakkan penglibatan belia dalam memahami dasar serta agenda pembangunan Sarawak.

Melalui PSDC 2026, Kerajaan Sarawak dan AZAM Sarawak turut berhasrat memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor korporat serta rakan strategik dalam usaha membangunkan ekosistem kepimpinan belia yang lebih progresif dan berdaya saing.

Institusi pengajian tinggi yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan, kaedah pendaftaran dan jadual pertandingan melalui laman web rasmi pertandingan https://azampremiercup.com/ atau platform media sosial rasmi AZAM Sarawak dengan pendaftaran kini dibuka dan akan ditutup pada 30 Julai 2026,” ujarnya.

BERITA LAIN

Sharifah Nong-Jasima bangkit genggam ijazah

PERJALANAN menuntut ilmu yang bermula pada 2018 akhirnya membawa Sharifah Nong-Jasima Syed Junaidi ke pentas konvokesyen lapan tahun kemudian, namun di sebalik kegembiraan menggenggam sulung

BERITA TERBARU