ARTIKEL

Premier rasmi Menara AFFIN di TRX

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perasmian Menara AFFIN di Tun Razak Exchange (TRX) hari ini menandakan langkah strategik Sarawak memperkukuh keupayaan institusi kewangan tempatan agar beroperasi pantas, bersepadu dan berdaya saing dalam cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebuah ibu pejabat korporat tidak seharusnya dilihat sekadar alamat operasi, sebaliknya berperanan sebagai enjin pelaksanaan strategik yang menentukan piawaian tadbir urus, kecekapan dalaman serta keupayaan institusi untuk menyesuaikan diri dengan perubahan berkelajuan tinggi.

Landskap semasa menuntut institusi kewangan beralih daripada penambahbaikan secara berperingkat kepada lonjakan keupayaan yang lebih ketara, merangkumi sistem dipertingkat, proses membuat keputusan lebih pantas serta pelaksanaan yang lebih berdisiplin.

“Maka persoalannya kini bukan lagi sama ada kita sedang bergerak ke hadapan, tetapi sejauh mana kepantasan kita melangkah serta sama ada keupayaan yang dibina hari ini benar-benar membolehkan kita melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

“Dalam dunia yang berkelajuan tinggi, penambahbaikan secara berperingkat tidak lagi mencukupi untuk merapatkan jurang. Yang diperlukan ialah lonjakan keupayaan termasuk sistem yang dipertingkat, pelaksanaan lebih mantap serta kesiapsiagaan melonjak ke hadapan apabila keadaan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Menara AFFIN di TRX, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, menara AFFIN di TRX juga dilihat selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan serantau khususnya dalam menarik pelaburan, menghimpunkan bakat serta mempercepatkan pembuatan keputusan kewangan di peringkat nasional dan serantau.

Dalam konteks Sarawak, menurutnya, kehadiran institusi negeri di ekosistem kewangan utama negara adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan tujuan, mampan dan inklusif.

“Lembaga Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak telah menubuhkan pejabatnya di Kuala Lumpur, di menara ini sebagai satu langkah awal dan kami menantikan lebih banyak lagi institusi Sarawak untuk bertapak di sini pada masa akan datang.

“Justeru, perkara ini juga mencerminkan keyakinan terhadap kawasan ini serta keyakinan bahawa aspirasi Sarawak sememangnya berada di pentas nasional dan serantau,” ujarnya.

Abang Johari juga menyambut baik pengiktirafan pasaran terhadap kemajuan AFFIN, termasuk pengekalan penarafan kredit antarabangsa A3 oleh Moody’s Ratings serta kejayaan penerbitan sulung bon dolar Amerika Syarikat bernilai AS$300 juta.

“Pencapaian ini mengangkat kedudukan AFFIN dan memberikan kesan positif kepada ekosistem yang lebih luas, termasuk perniagaan di Sarawak yang menghargai rakan kewangan kukuh ketika mereka berkembang dan berdaya saing.

“Selain itu, peningkatan penarafan AFFIN dalam FTSE4Good daripada tiga bintang kepada empat bintang menandakan prestasi kemampanan yang lebih kukuh serta piawaian yang lebih tinggi yang diharapkan daripada institusi moden,” jelasnya.

Tamat

BERITA LAIN

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil